Setelah lama tidak beraksi, Oh Chentaku (OCK) akhirnya kembali berpanggung di Atas Angin Rock Show yang telah berlangsung pada 11 Jun 2022 di Angkasa Space, Kuala Lumpur.
Tirai dibuka dengan persembahan bertenaga daripada Escape Plan sekitar jam 8.30 malam sebelum diambil alih oleh formasi Myo (vokal/gitar), Jack (gitar utama), Naem (bass), Mior (dram) dan Wawa (keyboards).
Sedari lagu pertama, Fallback, peminat sudah meliar tanda dahagakan sentuhan band rock dari Kuala Lumpur ini.
Bersambung ke lagu Wicked Offspring dan Hari Demi Hari, pentas Angkasa Space terus bergegar dengan sing-along semua peminat yang hadir.
Ketiadaan Altimet tidak merencatkan persembahan OCK untuk lagu mereka seterusnya, Seriputeh. Tugas tersebut digalas dengan baik oleh Wawa dan peminat dengan baik sekali.
OCK turut mempersembahkan dua buah lagu yang tidak terdapat di mana-mana album mereka sebelum ini iaitu Mungkin Tak Mungkin dan Goddess. Adakah ini petanda album baharu?
Myo kemudian mengembalikan vibe dan nostalgia Versus dengan menjemput Ash dari Massacre Conspiracy untuk mempersembahkan lagu Seindah Biasa. Havoc!
Penat lelah OCK akhirnya diakhiri dengan sebuah lagu saduran yang tidak asing lagi bagi yang mengikuti mereka sejak di era Versus, Bunga Angkasa. Myo buat crowd surf sampai pecah lampu venue!
Acara berakhir dengan jayanya sekitar jam 10.30 malam dan rata-rata peminat yang hadir pada malam itu berpuas hati dengan pengalaman yang diberikan OCK.
Ia merupakan sebuah gig yang berjaya dan pastinya akan dikenang oleh pentegar muzik tempatan dan mungkin menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula OCK yang lebih terampil di masa hadapan.
Sumber: Musicaddicts.my
Gambar: Farid Othman