Kugiran Emotive Pop Punk, Heavside kembali menemui peminat dengan pelancaran single terbaru, Youth yang telah dilancarkan pada 25 Februari 2022 dengan jangka masa selama 2 minit 51 saat di saluran Spotify rasmi mereka.
Naskah ini turut hadir dengan video muzik (MV) rasmi yang dirakam secara DIY bersama rakan-rakan rapat mereka dan telah dimuatnaik di saluran YouTube heavsideVEVO dengan durasi 3 minit 14 saat.
Youth merupakan sebuah trek yang dipetik daripada EP/ album mereka yang masih lagi dalam pembikinan sejak kali terakhir meluncurkan EP For What It’s Worth pada tahun 2019.
Pelancaran Youth adalah buah tangan khas mereka buat para peminat untuk memberikan gambaran bunyian EP/ album mereka yang bakal menjelang.
Lagu ini adalah intepretasi Heavside tentang apa ertinya keremajaan terhadap mereka.
Sesetengah daripada kita mungkin sedang melalui saat-saat indah dan terbaik dalam hidup, namun sesetengah yang lainnya pula mungkin sedang melalui satu fasa yang gelap dan menyedihkan.
Ia juga adalah sebuah introspeksi agar tidak terus leka dengan ‘keremajaan’ kerana rasa tanggungjawab yang dipikul selari dengan bertambahnya usia.
Menurut Hafiz (pemain dram), “Rakaman Youth sebenarnya telah siap pada bulan September 2021 dan segalanya dilakukan secara kendiri di rumah masing-masing. Untuk proses adunan dan mastering, lagu ini dihantar kepada Cory Bergeron, gitaris band Locket dari Kanada untuk memastikan hasil akhir yang terbaik.”
Dengarkan Youth di saluran Spotify dan Youtube rasmi Heavside dan ikuti saluran media sosial rasmi Heavside di Facebook, Twitter, dan Instagram untuk maklumat terkini aktiviti muzik terbaru mereka.
Sumber: Musicaddicts.my